MAKNA LOGO

 

MAKNA LOGO


Menurut bekas Setiausaha Majlis iaitu, Kr. Jonathan Saban, Logo Majlis pada asalnya ialah sepasang burung merpati yang duduk di atas dahan dengan seekor menoleh ke kiri dan seekor lagi menoleh ke sebelah kanan. Dua ekor Burung Merpati dipilih untuk melambangkna kesejahteraan dan perpaduan ( Peace and Unity )

Majlis Daerah Lundu dalam Mesyuarat Majlis Penuh telah bersetuju dan bercadang untuk menukar Logo Majlis yang ada sekarang kepada Bunga Rafflesia dan beberapa elemen yang ada di daerah ini sebagai salah satu daripada strategi Majlis untuk menarik lebih ramai pelancong ke sini dan pada masa yang sama  untuk memperkenalkan Daerah Lundu sebagai salah satu pusat pelancongan. Bunga Rafflesia dipilih kerana keunikannya yang tersendiri dan untuk memperkenalkan tempat di mana tumbuhan ini mula mula dijumpai iaitu di Gunung Gading dan yang menjadi kebanggaan masyarakat Daerah Lundu

MAKSUD LOGO

Logo Majlis Daerah Lundu telah direka bentuk semula dengan memasukkan lima elemen iaitu bunga Rafflesia, gunung, Sungai dan pantai, periuk kera dan perisai.

1.      Bunga Rafflesia

Bunga Rafflesia adalah bunga yang terbesar di dunia. Bunga ini banyak tumbuh di sekitar kawasan pergunungan di daerah Lundu. Berdasar kepada kajian, ada dua jenis spesis bunga ini yang tumbuh iaitu spesis “Tuan Mudae” dan “Hasseltii”. Spesis “Tuan Mudae’ ada tumbuh di empat buah negara sahaja di dunia iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina. Walau bagaimana pun, spesis “Hasseltii”  hanya tumbuh di dua lokasi sahaja di dunia iaitu di Sumatera dan di Taman Negara Tanjong Datu, Lundu.

Bunga Rafflesia telah dipilih sebagai salah satu elemen dalam logo majlis dan di letakkan di bahagian tengah logo bagi melambangkan sasaran majlis untuk menjadi sebuah organisasi terbaik dan contoh kepada organisasi lain.

2.      Gunung

Lundu mempunyai beberapa buah gunung seperti Gunung Pueh dan Gunung Gading. Gunung Gading terletak berdekatan dengan Bandar Lundu. Sekiranya anda berada di pekan Lundu anda akan dapat melihat gunung ini tersergam indah dan menjadi latar belakang kepada bandar Lundu.

Gunung Gading yang berdiri megah ini di jadikan elemen kedua dalam logo majlis bagi melambangkan keteguhan semangat kakitangan dalam mengharungi tugasan harian memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat tanpa mengira penat lelah.

3.      Sungai dan Pantai

Daerah Lundu sangat kaya dengan sumber laut dan pelancongan. Selain itu juga, Lundu mempunyai sungai yang kaya dengan ikan dan udang galahnya.  Sungai Batang Kayan yang mengalir di tengah pekan Lundu merupakan mercu tanda semulajadi bagi daerah Lundu.

Bentuk aliran air yang ada di bahagian bawah logo melambangkan sungai dan pantai bagi membawa maksud keharmonian antara kakitangan majlis bagi memastikan segala kerja dijalankan dengan penuh semangat bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.

4.      Periuk Kera

Periuk kera merupakan tumbuhan yang banyak tumbuh di sekitar daerah Lundu. Pelbagai spesis periuk kera boleh didapati di daerah ini.

Periuk kera diambil sebagai salah satu elemen dalam logo majlis bagi melambangkan kepelbagaian kepakaran kakitangan dalam menangani permasalahan di mana setiap permasalahan mampu ditangani dengan penuh dedikasi melalui perbincangan dan teknik penyelesaian yang kreatif dan inovatif.

5.      Perisai

Lambang perisai sebagai asas logo membawa maksud perpaduan semua kakitangan dalam menempuhi liku tugas dan cabaran yang bakal ditempuh bagi memastikan masyarakat setempat dan pelanggan majlis sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang disampaikan.

6.      MAKSUD WARNA DALAM LOGO

a.      Hijau

Kesegaran dalam memberi idea yang bernas dan keseimbangan pentadbiran melalui pengurusan yang terbaik antara Ahli Majlis dan Kakitangan Majlis.

b.      Kuning keemasan

Kesetiaan kakitangan kepada organisasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

c.       Merah

Keazaman dan semangat kakitangan bagi memastikan majlis menjadi sebuah organisasi terbaik dan bertaraf dunia.