Sejarah Lundu
Lundu adalah sebuah bandar yang terletak di bahagian barat daya Bahagian Kuching bagi Negeri Sarawak, Malaysia dan bersempadanan dengan negara Indonesia. Suatu ketika dahulu, Lundu merupakan kawasan strategik suatu kawasan di kawasan perairan Tanjung Datu yang dikenali sejak berabad-abad dalam sejarah termasuk dalam sejarah Majapahit, China dan Srivijaya. Inilah disedari oleh kolonial Inggeris ini apabila Lundu kemudian dijadikan kubu pertahanan yang pertama.
Walaupun sungai utama yang mengalir di kawasan ini dinamakan Batang Kayan tetapi tiada bukti menyatakan adanya bangsa Kayan yang pernah menetap di sini. Pada pertengahan abad ke 18, sekumpulan orang Bidayuh telah berhijarah ke sini dari Bau dan menetap di bahagian barat sungai Batang Kayan di mana Kampung Stunggang Melayu sekarang berada. Mereka pernah digelar sebagai Dayak Lundu dan walaupun keturunan terakhir daripada kelompok ini telah meninggal dunia di sekitar tahun 1960an, kita masih dapat melihat tinggalan pokok-pokok durian yang telah mereka tanam.
Menurut cerita mitos, nama "Lundu" diambil daripada nama ikan kecil iaitu ikan Lundu yang ada di Sungai Lundu iaitu sungai yang mengalir turun dari Gunung Gading.
Terdapat juga sumber tempatan menyatakan nama Lundu berasal daripada kelompok masyarakat yang dikenali sebagai Undu, namun apabila percampuran Melayu tempatan, Bidayuh dan Iban kelompok ini menjadi Melayu, Bidayuh atau Iban.
Undu sebenarnya ialah varisi kepada nama Undi atau Datu Undi atau dikenali sebagai sebagai Raja Jarom yang berasal dari Minangkabau, Sumatera.
Datu Undi atau Undu ini mempunyai tujuh orang anak. Anak-anaknya menjadi pemerintah di Saribas, Samarahan, Kalaka, Sadong. Anak-anak beliau sangat terkenal seperti Dato Terawoh di Kota Samarahan dan Datu Godam (Saribas) yang menggunakan gelaran abang.
Pada akhir abad ke 18, tiga kumpulan penduduk mula berhijrah untuk menetap di kawasan Lundu ini secara berperingkat. Dari kawasan timur datang orang Iban. Orang Iban ini asalnya dari Balau yang terletak di sekitar Batang Lupar. Dari kawasan barat pula orang Cina dan Selako datang melalui kawasan pergunungan yang memisahkan Sarawak dari kawasan Indonesia Borneo. Penduduk Cina ini asalnya telah lama menetap di bandar Pontianak dan Sambas. Apabila emas mula dijumpa di kawasan Bau, penduduk Cina telah mula berhijrah ke sana.
Dari barat ini juga tibanya bangsa Selako atau Selakau. Bangsa Melayu juga mula berhijrah ke sini dari kepulauan Natuna.
Apa yang menariknya tentang Lundu adalah walaupun empat bangsa utama yang berlainan diam dikawasan ini tetapi hubungan antara mereka sangat rapat. Pendekatan sikap yang tidak mahu bersaing sentiasa diamal untuk menghasilkan kehidupan yang baik dikalangan mereka.
Lundu mendapat bekalan air dan elektrik dari Gunung Gading pada awal tahun 60an. Hospital Lundu telah dibina pada tahun 1965 dan mereka telah menawarkan pemeriksaan ke atas semua jenis penyakit kecuali yang kritikal. Hospital ini telah dibekalkan dengan klinik gigi dan pemeriksaan ultra bunyi untuk wanita hamil. Sehingga tahun 1968, pengangkutan ke Lundu hanya menggunakan kapal sahaja. Dan pada tahun 1968, jalan dari Bau ke Lundu telah siap dan bermulanya perkhidmatan bas bagi memudahkan hubungan antara Lundu dan luar.