Upacara Perarakan Chap Goh Mei
Gambar pekan Lundu pada malam Perarakan Chap Goh Mei
Pada hari kelima belas Tahun Baru Cina iaitu hari terakhir perayaan adalah hari yang dikenali sebagai Chap Goh Mei bagi masyarakat Cina. Dalam dialek Hokkien, Chap Goh Mei bermaksud "Malam ke-15 Tahun Baru Cina". Pada satu sudut pandang perayaan, pada malam hari ini merupakan perhimpunan ahli keluarga untuk mereka duduk makan bersama. Bagi masyarakat berbangsa Cina di Lundu, perayaan Chap Goh Mei merupakan satu perayaan yang amat di nanti-nanti oleh masyarakat berbangsa Cina di daerah ini kerana pada hari tersebut diadakan Perarakan Chap Goh Mei.
Pada hari ke 14 Tahun Baharu Cina, Pekan Lundu akan bergema dengan paluan gendang Cina oleh ahli persatuan tarian Singa dimana bermula jam 3 petang satu perarakan ritual dari tiga kuil yang berbeza membuat perarakan di sekitar pekan ini. Proses perarakan kecil ini akan bermula dari Kuil Tua Pek Kong berhampiran Lundu Waterfront dan berakhir di Kuil Dewi Mercy berhampiran SJK Chung Hua Lundu. Menurut kepercayaan, perarakan kecil ini dijalankan bagi tujuan “membersih jalan-jalan” untuk membuka jalan bagi upacara yang lebih besar yang akan diadakan pada keesokan harinya.
Gambar para peserta yang beraksi dalam kereta berhias di perarakan tersebut
Bermula jam 10 pagi pada hari berikutnya iaitu pada hari ke 15 Tahun Baharu Cina, perarakan yang lebih besar diadakan dimana lebih banyak kuil-kuil lain di sekitar Lundu akan turut serta untuk bergabung bagi memeriahkan lagi perarakan ritual ini. Pada hari ini, perarakan ini akan diadakan sebanyak dua kali dimana sambungan kepada perarakan ini akan bermula pada jam 6 petang. Perarakan ini kana bermula dari Kuil Tua Pek Kong berhampiran Lundu Waterfront dan berakhir lokasi yang sama.
Perarakan Chap Goh Mei yang diadakan di Lundu amat berbeza dengan perarakan Chap Goh Mei di daerah lain di Sarawak di mana dalam perarakan ini ada satu ritual yang dinamakan perarakan terapung. Melalaui perarakan terapung ini, wakil bagi setiap kuil ini akan duduk di atas satu kerusi yang dialas dengan pedang.
Rekabentuk salah sebuah kerusi yang diguna dalam upacara berkenaan
Menurut kepercayaan, orang yang duduk dikerusi tersebut mempunyai kekuatan untuk duduk di kerusi berkenaan setelah dirasuk oleh para dewa dan dewi. Perarakan terapung ini akan diiringi oleh ahli kumpulan tarian singa dan paluan gendang cina. Menurut penduduk berbangsa cina di sekitar pekan Lundu ini, sambutan dua hari ini adalah acara sambutan tahunan dan diadakan bagi menanda berakhirnya sambutan Tahun Baru Cina.
Gambar salah seorang peserta yang terlibat dalam upacara berkenaan