PERHIMPUNAN BULANAN MAJLIS DAERAH LUNDU
Posted on 05 Feb 2026
Source of News: MDL

30 Januari 2026(Jumaat) - Perhimpunan Bulanan Majlis Daerah Lundu telah berjaya diadakan dengan kehadiran warga kerja Majlis Daerah Lundu. Perhimpunan ini merupakan platform penting bagi memperkukuh komunikasi dalaman, menyampaikan amanat pengurusan serta memantapkan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam pihak berkuasa tempatan.
Antara agenda utama yang dilaksanakan ialah bacaan dan penandatanganan Ikrar Bebas Rasuah, sebagai manifestasi komitmen berterusan Majlis Daerah Lundu dalam mendukung tadbir urus yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti. Selain itu, perhimpunan turut diisi dengan penyampaian amanat pengurusan kepada seluruh warga kerja.
Majlis ini turut menyaksikan sesi penyerahan nota serah tugas daripada Hajah Norashikin binti Brahim, mantan Setiausaha Majlis Daerah Lundu, kepada Pn. Lisa anak Mireg yang kini menjalankan tugas sebagai Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Lundu, menandakan kesinambungan kepimpinan dan pengurusan organisasi.
Pihak Majlis Daerah Lundu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hajah Norashikin binti Brahim atas segala sumbangan, khidmat bakti dan dedikasi sepanjang tempoh perkhidmatan, serta mendoakan kejayaan berterusan kepada beliau. Pada masa yang sama, seluruh warga kerja MDL menyokong penuh pelantikan Pn. Lisa anak Mireg dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul.