
SEMATAN, 28 Januari 2026 – Kerajaan Sarawak terus membuktikan komitmen padu dalam memacu pembangunan infrastruktur serta merangsang ekonomi setempat melalui perasmian beberapa projek penting di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu.
Majlis Perasmian Projek Gerai Makan dan Waterfront Sematan telah disempurnakan oleh YB Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu. Projek-projek ini mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di Daerah Lundu.
Setiausaha Majlis Daerah Lundu (MDL), Puan Hajah Norashikin Brahim dalam ucapannya memaklumkan bahawa sebanyak 19 unit Gerai Makan Sematan telah berjaya dinaik taraf dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjumlah RM926,030.00. Inisiatif ini bertujuan menyediakan kemudahan niaga yang lebih selesa dan kondusif kepada para peniaga tempatan.
Selain itu, projek naiktaraf Waterfront Sematan turut dilaksanakan dengan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM849,980.00, selaras dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030, khususnya dalam memperkukuh penyediaan kemudahan awam yang inklusif serta berdaya saing.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Azizul Annuar turut mengumumkan berita gembira mengenai kelulusan peruntukan tambahan berjumlah RM30 juta di bawah Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) bagi kesinambungan pembangunan Waterfront Sematan. Daripada jumlah tersebut, RM15 juta diperuntukkan bagi pembinaan struktur tebingan sepanjang 500 meter yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, manakala RM15 juta lagi diperuntukkan untuk pembinaan dan pembangunan Marina Sematan dengan Majlis Daerah Lundu sebagai agensi pelaksana.
Projek berkenaan akan menyambung pembangunan waterfront sedia ada sehingga ke Tanah Hitam I, lengkap dengan pembinaan jeti baharu yang dijangka mampu memperkasakan sektor pelancongan pesisir pantai serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
YB Azizul Annuar dan Puan Hajah Norashikin turut menekankan kepentingan penjagaan prasarana serta kebersihan kawasan. Masyarakat dan para peniaga diseru agar bersama-sama memikul tanggungjawab dalam memastikan kemudahan awam sentiasa terpelihara.
Majlis Daerah Lundu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB ADUN N.3 Tanjong Datu atas kepimpinan dan sokongan berterusan beliau, serta kepada barisan kontraktor dan pasukan MDL yang telah berjaya menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Zulkarnain bin Ismail (Pegawai Daerah Lundu merangkap Pengerusi Majlis Daerah Lundu), Supt Sudirman bin Kram (Ketua Polis Daerah Lundu), wakil GKCDA, Pemanca, Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Lundu serta .Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Sematan.