06/03/2025
LUNDU – Majlis Daerah Lundu telah merasmikan Bazaar Ramadhan Lundu 2025 dalam satu majlis yang berlangsung bersempena dengan 5 Ramadhan 1446H. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Azizul Annuar Bin Pehin Sri Haji Adenan, ADUN N.03 Tanjung Datu.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Tuan Haji Awang Yusup Bin Awang Mostapha (Pengerusi Majlis Daerah Lundu), Kaunselor Abdul Razak (Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Lundu), Puan Hajah Norashikin Binti Brahim (Setiausaha Majlis Daerah Lundu), dan Encik Mohammad Ismail Redzuan Bin Adon (Bank Kerjasama Rakyat, Cawangan Lundu). Selepas majlis perasmian, para tetamu kehormat turut berkesempatan melawat gerai-gerai peniaga di Bazaar Ramadhan Lundu serta beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung.
Selain itu, satu inisiatif pengagihan pek makanan telah dijalankan oleh Jawatankuasa Agama Islam Majlis Daerah Lundu (JAIM) dengan kerjasama Bank Kerjasama Rakyat, Cawangan Lundu. Aktiviti ini bertujuan untuk menyumbangkan pek makanan kepada peniaga dan pengunjung bazaar sebagai tanda keprihatinan serta memupuk semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.
Bazaar Ramadhan Lundu merupakan acara tahunan yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dengan pelbagai juadah tradisional dan hidangan istimewa untuk dinikmati sepanjang bulan Ramadan. Inisiatif ini juga memberi sokongan kepada para peniaga kecil serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti menerusi sambutan keagamaan dan budaya.