News

 

MDL LANCAR GARIS PANDUAN JAWATANKUASA KOMUNITI ZON

Posted on 29 May 2024
Source of News: MDL


23/5/2024

LUNDU – Pihak MDL telah menyediakan satu garis panduan bagi rujukan dua belas Jawatankuasa Komuniti Zon yang telah dibentuk dalam pentadbiran MDL bagi menyelia dan memahami peranan setiap ahli jawatankuasa yang telah dilantik. Garis Panduan tersebut telah dirasmikan oleh YB Billy Sujang, ADUN N01 Opar pada 21 Mei 2024 yang lepas di Dewan Masyarakat Lundu. Jawatankuasa Komuniti Zon telah pun diwujudkan sejak tahun 2015 dan selaras dengan perkembangan semasa dalam mencapai halatuju MDL dan polisi Kerajaan Sarawak, pihak MDL telah mengambil inisiatif bagi mengemaskini peranan jawatankuasa melalui garis panduan ini.
     Pn Norashikin Brahim Setiausaha MDL dalam ucapan aluan beliau memaklumkan bahawa selain dalam membantu mencapai halatuju Kerajaan Sarawak, antara objektif penubuhan Jawatankuasa Komuniti Zon ini adalah bagi memperkukuh dan memperkemaskan fungsi Ahli Majlis sebagai agen penghubung di antara PBT dan komuniti. Ia juga merupakan inisiatif bagi saluran maklumat kepada komuniti selain bertindak sebagai satu badan pentadbiran yang menyalurkan aduan, permintaan, masalah dan kehendak penduduk kepada pihak Majlis. Selain itu, ia juga membantu pihak MDL dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dengan penyertaan dan pandangan komuniti setempat. Ia bagi menggalakkan penyertaan penduduk setempat di dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Majlis. Jawatankuasa Komuniti Zon ini juga bertindak dalam merancang program-program mesra rakyat dan memantau aktiviti-aktiviti jawatankuasa penduduk di kawasan zon masing-masing.
     Satu sesi taklimat kepada semua Ahli Majlis dan Ketua-Ketua Kampung berkaitan garis panduan ini telah diadakan sebelum majlis perasmian ini berlangsung yang telah disampaikan oleh En Awang Nazri bin Awang Ahmad, Ketua Bahagian Penilaian, Percukaian dan Pengurusan Strata. Dalam taklimat tersebut dimaklumkan berkaitan objektif penubuhan jawatankuasa, tumpuan perancangan aktiviti jawatankuasa, syarat-syarat lantikan jawatankuasa, tempoh lantikan, penamatan lantikan, peranan setiap ahli jawatankuasa, pengurusan kewangan jawatankuasa dan tindakan pengauditan yang akan dijalankan ke atas jawatankuasa oleh pihak MDL. Pihak MDL juga telah menjemput wakil dari Bank Rakyat Cawangan Lundu bagi memberi sedikit taklimat berkaitan pengurusan kewangan dan kaedah pembukaan akaun bank.
     Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah En Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga mewakili ADUN N03 Tanjong Datu, En Zulkipli Morshidi Pemangku Pegawai Daerah Lundu, Ketua-Ketua Masyarakat, Ketua-Ketua Kampung dan kakitangan MDL.