picture

News

 

MDL DINOBATKAN PEMENANG BAGI ANUGERAH KUALITI PERKHIDMATAN AWAM SARAWAK (ANUGERAH GANGSA) KATEGORI PIHAK BERKUASA TEMPATAN SARAWAK

Posted on 07 Feb 2024
Source of News: MDL

7/2/2024  KUCHING - Majlis Daerah Lundu pada hari ini telah berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (Anugerah Gangsa) Kategori Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak bersempena dengan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
            Pada majlis yang gilang gemilang tersebut, Majlis Daerah Lundu telah menerima piala Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak (Anugerah Gangsa) dan wang tunai sebanyak RM 10,000.00 yang disampaikan oleh YBhg. Dato Ahmad Nadzri Bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak serta disaksikan oleh YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Bin Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak. Puan Norashikin binti Brahim, Setiausaha MDL yang menerima anugerah tersebut merasa amat bersyukur dan berbesar hati atas pengiktirafan yang telah diberikan oleh pihak Kerajaan Sarawak. Beliau berharap pengiktirafan seumpama ini akan menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerja MDL untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh komuniti setempat. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat baik secara langsung dan tidak langsung dalam memberi komitmen kepada pihak MDL bagi memastikan pengurusan MDL seiring dengan halatuju Kerajaan Sarawak.
            Enam finalis yang telah terpilih untuk dinobatkan bagi kategori tersebut adalah Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Majlis Daerah Sarikei, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu dan Majlis Daerah Lundu.
            Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 telah dirasmikan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak. Seramai lebih 5000 orang penjawat awam negeri dan Persekutuan telah hadir bagi meraikan majlis berkenaan.