News

 

KEMPEN PENGUMPULAN BUANGAN ELEKTRIKAL DAN ELEKTRONIK (BEE) 2023 DI TOWNSQUARE LUNDU

Posted on 26 Feb 2023

25/02/2023

LUNDU – Pihak Majlis Daerah Lundu (MDL) telah mengadakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (BEE) 2023 bertempat di Lundu Townsquare selama 2 hari bermula 25 hingga 26 Februari 2023 (Sabtu & Ahad) dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (BEE) 2023 adalah anjuran bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak dan pihak Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG).

Pada tahun 2022, sebanyak 218 779 kilogram bahan buangan elektrikal dan elektronik berjaya dikumpul di 26 lokasi yang berbeza.Kempen ini adalah salah satu cara bagi menangani pelupusan BEE yang tidak terancang. Oleh yang demikian, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dan pihak kontraktor yang berdaftar dengan JAS bersama – sama turun padang (outreach) mengumpul bahan BEE dan dilupuskan atau dikitar semula dengan mematuhi peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh pihak Kontraktor.

Buangan Elektrikal dan Elektronik (E-waste) merupakan peralatan elektrikal dan elektronik (laptop, desktop, printer, mobile phone, washing machine, air-conditioner, refrigerator, etc.) di rumah, pejabat, industri atau premis yang telah rosak, usang dan tidak dapat digunakan lagi.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya buangan BEE (E-waste) kepada alam sekitar dan mempromosikan kaedah pengendalian dan pelupusan BEE yang selamat dan mesra alam kepada komuniti setempat.

Kempen ini juga merupakan seruan kepada rakyat untuk bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan kelestarian alam sekitar di Negeri ini. Selain itu, Kempen ini diharap dapat menggalakkan ekonomi kitar semula (circular economy) barangan BEE dipulih guna (recovery) dan kitar semula.

Pelupusan BEE yang tidak sempurna akan memberi kesan negatif kepada manusia, haiwan, hidupan akuatik dan marin. Kandungan logam berat seperti nikel, merkuri dan sebagainya yang terdapat di dalam sebahagian komponen BEE, berupaya menyebabkan pencemaran kepada air sungai, air bawah tanah dan tanah sekiranya tidak diuruskan dengan sempurna dan betul.

Pihak NREB menyeru kepada masyarakat setempat untuk tidak membuang barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak ke dalam tong sampah bersama sisa pepejal domestik yang lain.

Orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak di talian 082-482535 bagi mendapatkan khidmat nasihat bagi melupuskan buangan elektrik dan elektronik yang telah rosak.