SETIAUSAHA TETAP MPHLG ADAKAN LAWATAN KERJA KE MDL |
Tarikh : 31 Jan 2023 |
31/1/2023 LUNDU – Pihak Majlis daerah Lundu (MDL) berkesempatan menerima kunjungan daripada YBhg. Datu Antonio Kahti Galis, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) Sarawak bersempena sesi lawatan kerja beliau ke MDL pada Khamis, 26 Januari 2023 yang lepas. Sesi ini merupakan salah satu inisiatif pihak kementerian dimana melibatkan penglibatan YBhg Setiausaha Tetap MPHLG sendiri untuk turun padang bagi mengenalpasti status projek pembangunan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sarawak serta meninjau sendiri prestasi PBT tersebut dalam melaksana projek-projek yang telah diamanahkan kepada mereka. Pada sesi tersebut juga, rombongan MPHLG yang turut disertai oleh dua orang Jurutera Awam MPHLG iaitu Tuan Haji Nasseruddin Abdul Jaabar dan En Firas Fadhil serta seorang penolong Jurutera Cik Mas Azura Ahad telah diberikan satu taklimat ringkas yang disampaikan sendiri oleh Puan Norashikin binti Brahim, Setiausaha MDL. Beliau telah memulakan sesi taklimat beliau dengan membentangkan pengenalan ringkas MDL dan seterusnya memberi penerangan ke atas beberapa projek tahun 2021 dan 2022 yang telah siap sepenuhnya melibatkan projek rakyat, pembangungan, RTP dan Marris untuk makluman pihak MPHLG. Beliau juga telah memaklumkan kepada pihak MPHLG berkenaan beberapa kekangan yang pihak MDL hadapi untuk makluman dan nasihat lanjut daripada pihak MPHLG terutama melibatkan pengurusan kompleks sukan Daerah Lundu yang sedang diselia oleh pihak MDL. YBhg Datu Antonio memaklumkan bahawa beliau akan mengambil maklum atas permasalahan tersebut dan beliau menasihati agar pihak MDL berusaha untuk menguruskan perbelanjaan secara berhemah. Ini bagi memastikan pengurusan kewangan dan perbelanjaan PBT khususnya MDL dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dapat dijalankan secara teratur dan efisien. Beliau juga menasihat pihak MDL mencari alternatif lain bagi menambah hasil pendapatan majlis supaya dapat menampung kos perbelanjaan semasa. Sesi lawatan kerja diteruskan dengan lawatan daripada rombongan MPHLG ke beberapa projek seliaan MDL iaitu jeti Sematan, dewan masyarakat Tanah Hitam dan Telok Melano. Turut hadir pada sesi tersebut adalah Pengerusi MDL merangkap Pegawai Daerah Lundu En Gustian Haji Durani, Cr Hendy Simaon Rimau, Cr Chen Chung Yee, Cr Senghie Kutong, Ketua-Ketua Bahagian MDL, Ketua-Ketua Seksyen dan semua kakitangan MDL. |