Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

MDL juarai persembahan terbaik di Konvensyen KIK MPHLG
Tarikh : 11 Aug 2022
 

11/8/2022

KUCHING – Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah pun menutup tirainya semalam. Pada sesi tersebut, Majlis Daerah Lundu melalui Kumpulan G.U.R.L telah menerima anugerah Persembahan Terbaik. Kumpulan G.U.R.L terdiri daripada 5 orang ahli kumpulan terdiri daripada Pn Siti Noraini binti Jamali merangkap ketua kumpulan dan pembentang, Pn Lisa anak Mireg merangkap juruteknik ICT kumpulan, Cik Jasper anak Robin sebagai pembentang, Pn Litna anak Rassip sebagai pembentang dan Cik Saedah binti Asman yang juga sebagai pembentang.

Pada sesi persembahan KIK G.U.R.L, kumpulan memulakan persembahan dengan montaj yang menunjukkan segmen memperkenalkan Daerah Lundu melalui lagu Wek Jongan. Seterusnya kumpulan mempamerkan beberapa aktiviti tugasan jabatan dan terakhir kumpulan menunjukkan permasalahan yang kumpulan cuba selesaikan. Pada sesi perbentangan, kumpulan menggunakan khidmat 4 orang pembentang yang bersahutan membentang secara petah berkaitan permasalahan hingga kepada penyelesaian masalah. Di akhir persembahan, kumpulan dikejutkan apabila menerima tepukan gemuruh daripada sidang konvensyen dan standing ovation daripada kesemua panel penilai pada konvensyen tersebut.

Hasil kemenangan tersebut, Kumpulan G.U.R.L telah menerima Piala Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) serta wang sebanyak RM1,000.00 yang disampaikan sendiri oleh Ybhg. Datu Antonio Kahti Galis, Setiausaha Tetap MPHLG. Setiausaha MDL Pn Norashikin binti Brahim yang turut hadir pada sesi persembahan Kumpulan G.U.R.L memaklumkan beliau amat bangga di atas persembahan yang telah disampaikan oleh Kumpulan G.U.R.L pada hari tersebut dan berharap kumpulan ini mampu melakar lebih banyak kejayaan kepada jabatan dalam membudayakan amalan inovatif dan kreatif dalam tugasan harian di pejabat. Diakhir persembahan Kumpulan G.U.R.L, beliau merupakan antara yang memberi standing ovation.

Pada sesi tersebut juga, Kumpulan Kaul lX dari MP Dalat dan Mukah telah dinobatkan juara konvensyen dengan membawa pulang Piala Menteri MPHLG serta wang RM2,000.00. Tempat kedua kumpulan EMCO dari DBKU yang membawa plak dan wang RM1,500.00 dan tempat ketiga Kumpulan AIM dari MD Matu dan Daro yang membawa pulang plak dan wang RM1,000.00. Hadiah disampaikan oleh YB Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.