Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

MDL Juara Pertandingan Innowaste 2021 anjuran MLGH
Tarikh : 04 Nov 2021
 

LUNDU (30/10/2021) – Majlis Daerah Lundu (MDL) telah berjaya merangkul dua anugerah iaitu Juara Pertandingan Innowaste 2021 dan Persembahan Digital Inisiatif Terbaik di Pertandingan Innowaste 2021 sempena Program Innowaste 2021 bagi Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang telah diumumkan pada 5 Oktober 2021 yang lepas. Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama dengan Niranur Agro Farm dengan tajuk projek mereka adalah “Niranur Upside Down 3R House”. Pertandingan yang dianjurkan secara tahunan tersebut dianjurakan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan Sarawak yang berobjektifkan projek atau produk yang kreatif dan inovatif hasil bahan kitar semula.

Pertandingan Innowaste ini terbuka kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sarawak dan hanya lima kumpulan sahaja telah disenarai pendek untuk memasuki peringkat akhir pertandingan yang diadakan secara atas talian, Selain MDL, empat lagi kumpulan PBT yang memasuki peringkat akhir bagi kejohanan tersebut adalah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu dan Majlis Daerah Subis.


Setiausaha MDL Puan Norashikin binti Brahim amat bersyukur atas dua kejayaan tersebut dan mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam merealisasikan kejayaan tersebut. Kegembiraan tersebut turut dirasai bersama oleh Pengurus Niranur Agro Farm En Mohd Aluis bin Hamri yang melahirkan rasa kesyukuran atas kejayaan tersebut. Selain mengusahakan “Niranur Upside Down 3R House”, pihak Niranur Agro Farm juga mengusahakan “Niranur Stingless Bee Garden”, “Niranur Driftwood Collection” dan “Niranur Rabbit Farm”.