Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

COVID-19: KAPIT KINI ZON MERAH, BAU DAN LUNDU BERSTATUS JINGGA
Tarikh : 02 Feb 2021  Sumber Berita: https://www.utusanborneo.com.my/2021/02/01/covid-19-kapit-kini-zon-merah-bau-dan-lundu-berstatus-jingga
 

oleh Agnes Tugong

2021-02-01

KUCHING: Daerah Kapit telah bertukar status dari zon jingga kepada zon merah selepas 41 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata hari ini sahaja 11 kes baharu positif COVID-19 dikesan di daerah itu dengan lapan daripadanya melibatkan Kluster Pasai. 

Manakala dua lagi kes merupakan individu yang disaring melalui pengesanan kes secara aktif dan satu kes saringan melibatkan individu bergelaja. 

“Daerah Bau dan Lundu bertukar status daripada kuning kepada jingga setelah masing-masing merekodkan sebanyak 22 dan 25 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas. 

“Manakala daerah Beluru bertukar status daripada merah kepada kuning dengan merekodkan 20 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya. 

Tambah JPBNS, tujuh daerah iaitu Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri dan Kuching kekal berstatus merah dengan sejumlah 1,934 kes jangkitan tempatan di laporkan di tujuh daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas. 

Daerah Sarikei, Subis dan Betong juga kekal berstatus jingga dengan 84 kes jangkitan tempatan di laporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Manakala daerah Matu, Daro, Sebauh, Lawas, Telang Usan, Bukit Mabong, Tatau, Pakan, Serian, Belaga, Meradong, Julau, Simunjan, Lubok Antu, Selangau, Samarahan dan Sri Aman kekal berstatus kuning. 

Sembilan lagi daerah iaitu Asajaya, Limbang, Tanjung Manis, Tebedu, Mukah, Pusa, Saratok, Kabong dan Marudi kekal berstatus hijau.