Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
 
PENGURUSAN PELANCONGAN DAN SISTEM PENYAMPAIAN MAKLUMAT OLEH PBT MENJADI OBJEKTIF LAWATAN AHLI MAJLIS MD LUNDU KE SABAH
Tarikh : 02 Jan 2020
 

23/12/2019

Kuching – Seramai 28 orang ahli rombongan daripada Majlis Daerah Lundu yang terdiri daripada 24 orang ahli majlis dan 4 orang kakitangan kanan telah menyertai satu sesi lawatan sambil belajar ke Sabah pada 18 hingga 21 Disember 2019 yang lepas. Pada sesi ini dua buah Pihak Berkuasa Tempatan Sabah telah dipilih untuk dilawat iaitu Lembaga Bandaran Kudat (LBK) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Semasa lawatan ke Lembaga Bandaran Kudat, pihak rombongan MDL yang diketuai oleh Kr Abdul Razak Abdul Abdul Wahab telah disambut mesra oleh Encik Mohd Rafik Haji Jubar, Pegawai Eksekutif LBK dan pihak pengurusan LBK. Sesi taklimat dimulakan dengan ucapan aluan dan terima kasih di atas kesudian rombongan dari MDL ke LBK oleh En Mohd Rafik. Sesi diteruskan dengan penerangan berkaitan fungsi dan pengurusan LBK kepada komuniti setempat. Pada sesi soal jawab dan bertukar pendapat, banyak isu telah dibincangkan dan dikongsi bersama seperti pelancongan, pengurusan sisa pepejal, pengurusan pencukaian dan sebagainya.

Kudat yang terkenal dengan jolokan “Tip of Borneo” merupakan destinasi menarik bagi para pelancong baik dari dalam maupun dari luar negara. Tarikan utama kawasan ini merupakan pantai-pantainya yang cantik dan ini merupakan antara faktor kenapa Kudat telah dipilih sebagai lokasi lawatan oleh pihak MDL.

Kr Abdul Razak dalam ucapan balasnya menerangkan yang Daerah Lundu mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik seperti pantai, air terjun dan taman negara. Kudat terkenal dengan “Tip of Borneo, manakala Lundu pula dengan “Where Borneo Begins”.  Beliau juga berharap lawatan pihak MDL ke LBK akan mengeratkan lagi hubungan antara dua jabatan dan seterusnya dua negeri yang juga berada di Kepulauan Borneo. Semasa berada di Kudat, pihak rombongan MDL sempat dibawa ke Tanjung Simpang Mengayau, Kudat dimana terletaknya lokasi “Tip of Borneo”.

Lawatan pihak MDL diteruskan ke Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada hari berikutnya. Pada lawatan kali ini, pihak MDL telah disambut oleh Puan Lizawana binti Matin, Pengarah Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK. Sesi dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pn Lizawana dan diteruskan dengan taklimat berkaitan Sistem Pentadbiran ke Arah Digital. Penerangan yang padat memberikan banyak maklumat kepada pihak rombongan tentang pentingnya digital dalam pengurusan pentadbiran sesebuah PBT.  Ini selaras dengan saranan YB Ketua Menteri Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang membangun melalui ekonomi digital.

Pada sesi soal jawab, pihak rombongan juga dikongsi bersama tentang beberapa initiatif yang telah dijalankan oleh pihak DBKK dalam mengurus tadbir bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandaraya pelancongan. Kr Abd Razak selaku Ketua Rombongan mengucapkan terima kasih kepada pihak DBKK atas kesudian menerima kunjungan daripada pihak ahli majlis MDL. Beliau juga berharap segala penerangan yang telah disampaikan oleh pihak DBKK dapat diadaptasi di Daerah Lundu dalam menjadikan Lundu sebagai Bandar Pantai Semulajadi.