Kemaskini Pada: 20 Nov 2019
Versi 8.2.2
 
KIAS 2019 LAHIR PELAJAR KREATIF
Tarikh : 05 Nov 2019
 

29/10/2019

LUNDU – Konvensyen Inovasi Alam Sekitar (KIAS) Peringkat Sekolah Daerah Lundu 2019 yang melabuh tirainya hari ini telah berjaya mencungkil bakat para pelajar sekolah di daerah Lundu dalam menghasilkan produk kreatif berasaskan barangan kitar semula. Selain daripada itu di dalam sesi perbentangan para kumpulan pada sesi konvensyen selama dua hari di Dewan Masyarakat Lundu tersebut, para pelajar ini juga telah membentangkan pelaksanaan program-program 3R yang telah dijalankan di sekolah masing-masing dimana penglibatan program tersebut bukan setakat disertai para pelajar dan para guru tetapi juga termasuk ibu bapa para pelajar berkenaan.

Konvensyen yang pertama kali diadakan tersebut adalah initiatif pertama pihak Majlis Daerah Lundu (MDL) dalam membudayakan aktiviti 3R di peringkat sekolah. Pada tahun ini, KIAS 2019 telah disertai oleh 15 buah kumpulan daripada 10 buah sekolah di daerah Lundu. Dua kategori telah dipertandingkan iaitu Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah.

Majlis Penutupan KIAS 2019 disempurnakan oleh YB Datuk Amar Hajah  Jamilah binti Haji Anu, ADUN N3 Tanjong Datu. Pada sesi ucapan beliau menyokong inisiatif yang telah dijalankan oleh pihak MDL dalam memupuk budaya jangan “Ceridak” (pengotor) di kalangan komuniti setempat dengan memulakan nya dari kanak-kanak sekolah. Beliau juga berharap usaha pihak MDL dalam merealisasikan KIAS diteruskan pada tahun hadapan.

Pn Norashikin binti Brahim, Setiausaha MDL dalam ucapan aluannya berharap pada KIAS 2020 yang akan datang lebih banyak produk inovasi 3R dan program 3R dapat dijalankan oleh pihak sekolah dalam membudayakan amalan kitar semula bagi memastikan pengurusan sisa pepejal dapat dipraktik bermula dari peringkat anak-anak sekolah. Bak kata pepatah  kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Pada KIAS 2019 ini, setiap kumpulan yang bertanding telah dianugerahkan dengan Anugerah Bintang KIAS selain pengumuman pemenang setiap kategori. Antara kumpulan yang terlibat adalah DESM’Q (3 bintang) dan LACC SQ (3 intang) dari SMK Senibong, Lundu A (4 Bintang), Lundu B ( 4 Bintang) dan Lundu C (3 Bintang) dari SMK Lundu, Rafflesia Blooms 1 (3 Bintang) dan Rafflesia Blooms 2 (3 Bintang) dari SK Bumiputera, Potential Generation (4 Bintang) dan Superheros 3R (4 bintang) dari SK Sampadi, Sakuta (4 Bintang) dari SK Sebat, The Amazing Child ( 3 Bintang ) dari SK Stoh, Power Of Mind ( 3 Bintang ) dari SK Paon/Temaga, R’Vengers (4 Bintang) dari SK Pueh, SK Jangkar Team (3 Bintang) dari SK Jangkar dan Green Squad ( 4 Bintang ) dari SK Sematan.

Juara bagi Kategori Sekolah Menengah telah disandang oleh Kumpulan Lundu B, Naib Juara disandang oleh Kumpulan Lundu A dan tempat Ketiga disandang oleh Kumpulan DESM’Q. Manakala bagi Kategori Sekolah Rendah pula Juara disandang oleh Kumpulan R’Vengers, Naib Juara disandang oleh Kumpulan Potential Generation dan tempat Ketiga pula disandang oleh Kumpulan Superheros 3R. Persembahan Terbaik bagi Kategori Sekolah Menengah  disandang oleh Kumpulan Lundu B manakala bagi Persembahan Terbaik Kategori Sekolah Rendah disandang oleh Kumpulan Green Squad.

Pada sesi tersebut juga pihak MDL telah melancarkan produk inovasi mereka iaitu MDL PortableBin iaitu tong sampah pelbagai kegunaan yang mudah alih dan telah digunapakai pada dua pesta yang telah diadakan di daerah Lundu iaitu Pesta Sematan 2019 dan Pesta Batang Kayan 2019.

Majlis di akhiri dengan sesi bergambar dengan semua peserta konvensyen bersama YB Datuk Amar Hajah Jamilah d tetamu jemputan. Turut hadir pada majlis berkenaan adalah En Gustian bin Haji Durani, Pengerusi MDL,  Dr Cheong Yaw Liang dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, En Mohamad Nor dari Pejabat Pendidikan Daerah Lundu, Ahli-Ahli Majlis dan Ketua-Ketua Jabatan.