Kemaskini Pada: 20 Nov 2019
Versi 8.2.2
 
LAHIRNYA K.I.A.S DI LUNDU
Tarikh : 03 Nov 2019
 


28.10.2019

LUNDU – Tahun ini, sekali lagi Majlis Daerah Lundu (MDL) telah berjaya menempa satu lagi sejarah dengan menganjurkan konvensyen pertama seadanya di Sarawak iaitu Konvensyen Inovasi Alam Sekitar Peringkat Sekolah Daerah Lundu 2019 atau singkatan namanya K.I.A.S 2019. Konvensyen yang berlangsung selama dua hari tersebut selamat dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datu Dr. Sabariah binti Haji Putit, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak ( Transformasi Prestasi & Penyampaian Perkhidmatan) pada 28 Oktober 2019 yang lepas di Dewan Masyarakat Daerah Lundu.

Dalam ucapan perasmiannya, Beliau memuji inisiatif pihak Majlis Daerah Lundu yang telah mengambil langkah bijak mencetuskan penganjuran konvensyen inovasi seperti ini. Tambah beliau, “KIAS 2019 adalah program Konvensyen yang pertama di buat di Sarawak yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.”

Konvensyen Inovasi Alam Sekitar (K.I.A.S) adalah satu konvensyen di mana setiap kumpulan yang terdiri daripada tiga ke lima orang para pelajar sekolah akan membentang pelaksanaan program 3R di sekolah mereka dan produk inovasi 3R yang telah mereka ciptakan daripada bahan kitar semula. Setiap kumpulan akan membentang impak dan pencapaian pelaksanaan 3R di sekolah-sekolah mereka di dalam konvensyen tersebut. Konvensyen ini juga telah berjaya mencetus sikap ambil peduli tentang alam sekitar dengan budaya kitar semula 3R. Budaya 3R ini antara lainnya akan melahirkan generasi pintar yang sesuai dengan polisi kerajaan ke arah membangun Bandar Pintar di Sarawak.

Usaha murni pihak MDL ini juga telah menjadi titik tolak dalam pembangunan komuniti Daerah Lundu agar masyarakat Lundu dapat mengurus amalan pembuangan sisa pepejal dengan betul serta dapat membuat inovasi dari bahan terpakai dengan lebih kreatif lantas dapat meningkatkan ekonomi.


Pada akhir ucapannya , Datu Dr. Sabariah menyarankan K.I.A.S ini di lanjutkan pelaksanaan nya di daerah-daerah lain di Sarawak dan berharap Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak yang lain dapat mencontohi inisiatif MDL dalam menganjurkan KIAS yang merupakan projek perintis mereka.

Pada sesi tersebut, Datu Dr. Sabariah Putit telah diiringi oleh Puan Norashikin Brahim, Setiausaha Majlis Daerah Lundu ke tapak pameran produk inovasi para peserta kanak-kanak ini bagi melihat dan bertanya sendiri hasil inovasi tersebut yang terdiri dari para pelajar peringkat sekolah rendah dan menengah dari 15 buah sekolah sekitar Daerah Lundu iaitu SMK Lundu (3 kumpulan), SMK Senibong (2 kumpulan), SK Stoh (1 kumpulan), SK Sematan (1 kumpulan), SK Sampadi (2 kumpulan), SK Paon/Temaga (1 kumpulan), SK Pueh (1 kumpulan), SK Bumiputera (2 kumpulan), SK Sebat (1 kumpulan) dan SK Jangkar (1 kumpulan).

Turut hadir ke sesi perasmian tersebut adalah En Gustian Haji Durani Pengerusi MDL, En Braksonly anak Asaul wakil daripada Pejabat Pelajaran Daerah Lundu,ahli-ahli majlis dan para pemerhati dari PBT dan sekolah-sekolah dalam daerah Lundu.